Sebagai pembuka, artikel ini menceritakan tentang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). Dalam Akta tersebut telah menyatakan bahawa tiada sebarang kandungan Akta ini yang membenarkan penapisan Internet. AKM 1998 telah diperkenalkan ketika negara berdepan dengan konflik politik antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Timbalannya. Dalam konteks ini, Akta ini dilihat sebagai peluang, tanpa batas kepada mereka untuk menggunakan ruang siber sebagai senjata untuk mempertahankan pandangan politik masing-masing.
Penulis menekankan bahawa pengenalan AKM 1998 telah menyebabkan wujudnya pelbagai laman-laman sesawang yang digunakan untuk ‘menyerang’ mantan Perdana Menteri ketika itu sekali gus menghakis nilai-nilai budaya Melayu yang terkenal dengan kemantapan budi bahasa, kesopanan dan kesusilaan. Selain itu, penulis juga turut mengaitkan Akta-Akta lain yang mempunyai kaitan dengan AKM 1988 seperti Akta Hasutan 1969, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan banyak lagi.
Artikel ini juga menyatakan bahawa Internet bukanlah media ‘baru’. Sebenarnya, kewartawanan siber telah lama wujud iaitu sekitar 1995 apabila akhbar The Star dan New Straits Times melancarkan beritanya dalam versi siber. Ini menunjukkan bahawa penulis telah pun membuat kajian berkenaan dengan sejarah dua akhbar di Malaysia iaitu The Star dan New Straits Times. Saya yakin bahawa ramai di luar sana, tidak tahu bahawa kewartawanan siber telah wujud sejak 20 tahun lalu.
Selain itu, saya amat setuju dengan kenyataan dalam artikel ini yang menyatakan bahawa media siber atau alternatif lain lebih berpengaruh berbanding media tradisional seperti akhbar dan television dalam penyebaran maklumat terutamanya dalam aspek politik. Seperti yang dinyatakan oleh Fauzi (2012), kajian yang dilakukan oleh beliau telah membuktikan bahawa majoriti daripada masyarakat Malaysia lebih banyak menggunakan media siber atau alternatif dalam memperoleh maklumat. Hal ini mungkin kerana atas faktor kepantasan, kebebasan dari sebarang sekatan dan banyak lagi.
Benar, kebebasan media sememangnya sesuatu yang wajar kerana rakyat berhak tahu perkara sebenar tanpa sebarang proses penapisan. Namun, jika dilihat dalam konteks negatif pula, kebebasan media kadangkala boleh menyebabkan beberapa perkara yang tidak diingini seperti penyebaran pengaruh kurang baik, perpecahan antara kaum dan banyak lagi. Hal ini kian menjadi topik utama dalam perbualan rakyat Malaysia. Adakah kebebasan media itu memberikan lebih banyak manfaat ataupun sebaliknya? Ianya bergantung kepada situasi tertentu.
Sebagai penutup, penulis turut menekankan bahawa Internet seharusnya digunakan untuk membuka pandangan masyarakat melalui isu dalaman negara sendiri dan juga hal global yang disampaikan. Bukannya sebagai medium untuk mencemarkan pemikiran manusia sebagai contoh gejalan anarkis, fitnah dan hasutan.


No comments:
Post a Comment